5 Kebaikan Lompat Tali Kepada Lelaki

Menurut kajian yang diterbitkan dalam ‘Research Quarterly: American Association for Health, Physical Education and Recreation’ menunjukkan lelaki yang menghabiskan 10 minit setiap hari melakukan lompat tali selama enam minggu dapat meningkatkan kecergasan kardiovaskular sama seperti 30 minit berjoging.

Senaman ini tidak memerlukan peralatan mahal, memadai ada tali dan aktiviti itu boleh dilakukan di mana-mana permukaan rata, sama ada di dalam atau luar rumah.

Lompat kaki memberi banyak manfaat terhadap kesihatan dan kesannya boleh dirasai walaupun dilakukan dalam tempoh singkat, tetapi berterusan. Lima kebaikan senaman lompat tali:

1.Membakar kalori
Senaman lompat tali boleh membakar 200 hingga 300 kalori dalam masa 15 minit. Malah boleh membakar lebih banyak kalori berbanding latihan kardio yang berterusan seperti berlari, menunggang basikal dan berenang. Oleh kerana banyak otot bekerja semasa melakukan lompat tali, senaman ini dianggap termogenik iaitu menghasilkan lebih banyak haba kepada tubuh. Pada dua minit awal melakukan senaman lompat tali, ia sememangnya mencabar kemampuan kardiovaskular. Degupan jantung akan meningkat serta-merta dan harus mengekalkan jumlah tenaga yang dihasilkan untuk otot. Ini meningkatkan pembakaran kalori dan menjadi cabaran kepada sistem tubuh yang berbeza.

2.Meningkatkan kesihatan jantung
Senaman lompat tali adalah senaman kardiovaskular yang sangat bagus kerana melatih jantung berfungsi dengan baik. Kajian pada 2019 yang diterbitkan dalam ‘Reserch Journal of Pharmacy and Technology’ mendapati, individu melakukan lompat tali dua kali setiap hari selama 12 minggu akan meningkatkan pergerakan fungsi ‘VO2 max’ (ukuran jumlah maksimum oksigen digunakan semasa melakukan senaman intensiti tinggi) berbanding mereka melakukan rutin kecergasan seperti biasa. Lompat tali juga bermanfaat kepada individu yang mempunyai risiko menghidap penyakit kardiovaskular. Satu kajian pada 2018 terbitan ‘European Journal of Applied Physiology’ mendapati, rejim senaman lompat tali selama 12 minggu mengurangkan faktor risiko penyakit kardiovaskular kepada remaja yang mempunyai masalah pra tekanan darah tinggi atau menghampiri garisan tekanan darah tinggi. Pada akhir kajian ini menunjukkan, lemak pada tubuh remaja terbabit juga berkurangan terutamanya di bahagian perut dan kadar degupan jantung menjadi lebih baik.

3.Meningkatkan koordinasi
Lompat tali memerlukan koordinasi badan dalam keadaan baik, terutama apabila mempunyai banyak kemahiran pergerakan seperti menghayunkan tali lebih pantas iaitu dua kali dalam setiap lompatan. Ia meningkatkan koordinasi yang memerlukan beberapa bahagian tubuh berkomunikasi bagi menyelesaikan satu pergerakan. Kaki perlu melompat tepat pada waktunya dengan pergelangan tangan menghayun tali untuk melakukan gerakan melompat berterusan. Contoh, kajian pada 2017 diterbitkan dalam ‘Research Journal of Pharmacy and Technology’ mendapati, senaman lompat tali membantu meningkatkan koordinasi motor kanak-kanak autism yang mengalami kesukaran dengan keseimbangan dan koordinasi. Satu lagi kajian pada 2015 terbitan ‘Journal of Sports Science and Medicine’ mendapati, pemain bola sepak remaja menunjukkan kemahiran motor lebih baik selepas lapan minggu, berbanding mereka yang baru menjalani latihan bola sepak.

4.Menguatkan kepadatan tulang
Aktiviti lompat tali boleh membuatkan tulang menjadi kuat. Jika mengambil banyak mineral seperti kalsium, dapat mengurangkan risiko kerapuhan dan patah tulang. Kepadatan tulang yang tinggi boleh mengelakkan terjadinya masalah osteoporosis. Satu kajian pada 2017 terbitan ‘Public Library of Science’ mendapati, kanak-kanak perempuan berusia 11 hingga 14 tahun yang mengambil bahagian dalam aktiviti lompat tali setiap minggu mempunyai kepadatan tulang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak melakukannya. Pada 2019, ‘Korean Society for Bone and Mineral Research’ mengesyorkan masyarakat supaya melakukan aktiviti lompat tali selama 10 minit setiap hari untuk meningkatkan kekuatan tulang. Berdasarkan ‘International Osteoporosis Foundation,’ lompat tali boleh memberi manfaat kepada mereka yang ada masalah tulang lemah, tetapi perlu terlebih dahulu berbincang dengan doktor sebelum memulakan latihan ini.

5.Mengurangkan risiko kecederaan
Peningkatan koordinasi tubuh ketika senaman lompat tali boleh mengurangkan risiko kecederaan semasa latihan atau aktiviti harian. Lompat tali ‘memaksa’ diri mengkoordinasikan pergerakan di bahagian atas dan bawah badan hingga berasakan kesan yang lebih baik pada tubuh.