Awas Jika Anda Mengalami Dengung Dalam Telinga!

Seorang lelaki mengalami gangguan bunyi dengungan aneh dalam telinga, terutama di telinga kanan. Masalah dialaminya bermula sejak beberapa bulan yang lalu.

Pada mulanya, dia mengabaikan bunyi dengung itu kerana menganggap ia perkara biasa, tetapi lama-kelamaan bunyi itu menjadi semakin kuat dan deria pendengaran telinga kanannya semakin merosot.

Bunyi atau dengungan pada telinga adalah masalah yang biasa dialami masyarakat. Namun, bagi sesetengah individu yang mengalami masalah ini, ia adalah isyarat kepada pesakit supaya segera mendapatkan penilaian lanjut daripada pakar ENT tekak atau otorinolaringologi.

Kehilangan pendengaran ini selalunya terjadi dalam tempoh beberapa tahun. Kebanyakan pesakit otorinolaringologi, mungkin tidak menyedari masalah pendengaran dialami kerana ia berlaku secara perlahan-lahan dan tidak menyebabkan sebarang kesakitan.

Berdasarkan gejala tersebut, lelaki itu berkemungkinan mengalami masalah tinitus iaitu bunyi atau dengungan pada telinga.

Ia berpunca daripada pendedahan kepada bunyi dalam tempoh panjang yang boleh merosakkan saraf pendengaran. Masalah tinitus mungkin terjadi sama ada secara berterusan atau dengungan itu berlaku sekali-sekala.

Gejala dialami pesakit pula mungkin agak ringan, tidak membimbangkan dan dalam kebanyakan kes ia boleh ditangani. Kesan yang paling teruk dialami pesakit ialah menyebabkan kehidupan harian dan waktu tidur terganggu.

Golongan muda yang gemar mendengar muzik dengan kuat atau pekerja perindustrian tidak memakai pelindung telinga, berisiko mengalami masalah kehilangan pendengaran disebabkan pendedahan kepada bunyi bising tinggi itu.

Manakala masalah kehilangan pendengaran dialami warga emas pula disebabkan oleh proses penuaan iaitu presbiakusis.

Penyakit ini bertukar menjadi membimbangkan sekiranya disertai gejala lain seperti daya pendengaran berkurangan, sakit kepala dan otot muka menjadi lemah yang berpanjangan dalam jangka masa panjang.

Ada pula mengalami gejala seperti kegatalan dalam lubang telinga yang mungkin disebabkan terdapat banyak tahi telinga berkumpul, hingga perlu disedut bagi membersihkan lubang telinga dan memulihkan pendengaran.

Dalam kes yang lain, tinitus juga boleh menyebabkan satu gejala cecair terkumpul di belakang gegendang telinga (middle ear effusion) yang mempunyai kaitan dengan penyempitan di lubang hidung atau wujudnya ketumbuhan nasofarinks dalam hidung.

Kebanyakan punca kes tinitus adalah tidak berbahaya, biasanya disebabkan oleh kecederaan atau degenerasi saraf auditori (saraf telinga).

Bagaimanapun, tinitus dengan kehilangan pendengaran telinga sebelah, tinitus dengan vertigo dan tinitus bersifat denyutan, mungkin menandakan punca yang lebih serius serta perlu diberikan perhatian lanjut.

Di klinik ENT, menyediakan beberapa komponen rawatan untuk pesakit. Melalui sesi temu bual, pakar bedah ENT akan merekodkan sejarah gejala dialami pesakit dan melakukan beberapa pemeriksaan klinikal.

Ini termasuk pemeriksaan saluran lubang dan gegendang telinga, sama ada menggunakan mikroskop atau endoskop. Ada kalanya turut melakukan pemeriksaan hidung apabila mengesyaki masalah itu membabitkan bahagian telinga tengah.

Ujian audiometri nada tulen (mengukur tahap pendengaran) turut dilakukan ke atas pesakit, bagi mengenal pasti sebarang masalah pendengaran yang mempunyai kaitan dengan tinitus.

Hasil ujian ini, membantu pemilihan rawatan yang bersesuaian bagi menangani masalah tinitus. Ini termasuk penggunaan ubat dan ‘masking device’ yang mungkin membantu sesetengah pesakit.

Ujian imbasan MRI otak akan disyorkan kepada pesakit yang mengalami masalah kehilangan pendengaran sebelah telinga, memandangkan satu hingga tiga peratus masalah ini disebabkan oleh neuroma akustik.

Dalam kes neuroma akustik iaitu sejenis ketumbuhan saraf pendengaran di otak, maka diagnosis ini memerlukan perundingan daripada pakar bedah neuro.

Pakar bedah neuro akan mengesyorkan pilihan rawatan berdasarkan penemuan daripada hasil ujian imbasan MRI.

Dalam masa yang sama, adalah penting memberikan perhatian kepada kesan ketumbuhan itu kepada otak,selain daripada tinnitus, kerana ketumbuhan itu boleh menyebabkan masalah kehilangan pendengaran.

Selain itu kesan yang teruk ialah otot muka dan badan menjadi lemah, ketidakseimbangan tubuh dan sakit kepala disebabkan oleh pengumpulan cecair di dalam otak.

Selepas pembedahan, pakar bedah saraf kemudian akan memilih untuk melakukan rawatan radiosurgeri atau radioterapi bersama pakar onkologi sebagai sebahagian rawatan lanjutan kepada pesakit.