PKR Teruskan Saman 10 Juta Terhadap Zuraida

Datuk Zuraida Kamaruddin, bekas Naib Presiden Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), gagal membatalkan saman difailkan oleh parti itu yang menuntut Zuraida membayar RM10 juta kerana melanggar syarat bon yang mengikat dirinya kepada parti.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar memutuskan demikian, selepas menolak permohonan Zuraida untuk membatalkan saman tersebut.

Dalam penghakimannya, Latifah berkata, mahkamah mendapati terdapat isu yang boleh dibicarakan dalam tindakan berkenaan selain mendapati isu berkaitan bon yang ditandatangani oleh Zuraida pada 25 April 2018 perlu diperjelaskan dalam perbicaraan penuh.

“Defendan perlu memberi keterangan kenapa beliau menandatangani bon tersebut dan apakah tujuan bon tersebut ditandatangani serta sama ada terdapatnya syarat-syarat tersirat. Oleh itu, perlunya keterangan saksi kedua-dua pihak untuk menjelaskan tujuan bon itu dilaksanakan.

“Mahkamah juga berpendapat adalah tidak wajar tuntutan tersebut dibatalkan pada peringkat ini. Oleh itu, mahkamah menolak permohonan defendan untuk membatalkan saman plaintif dengan kos RM5,000,” kata Latifah yang menyampaikan keputusan pada prosiding secara dalam talian (e-Review) hari ini.

Pada 28 September tahun lalu, PKR memfailkan saman terhadap Zuraida bagi menuntut RM10 juta kerana melanggar syarat bon yang mengikat dirinya kepada parti.

Saman itu difailkan Setiausaha Agung parti itu Saifuddin Nasution Ismail selaku plaintif melalui Tetuan Wiliam Leong & Co. dengan menamakan Zuraida, 52, yang kini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sebagai defendan tunggal.

Dalam tuntutan saman itu, plaintif mendakwa pada 25 April 2018 Zuraida telah menandatangani suatu bon di mana defendan telah mengikat dirinya untuk membayar parti sejumlah RM10 juta menurut terma dan syarat bon tersebut.

Terdahulu, plaintif mendakwa, pada 24 Februari tahun lalu, defendan dalam satu kenyataan bersama 10 orang ahli parlimen yang lain telah mengumumkan perletakkan jawatan dari PKR tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang.

Pada tarikh sama, Majlis Pimpinan Pusat Parti (MPP) telah meluluskan resolusi untuk melucutkan keahlian defendan dalam parti tersebut dengan serta-merta selain mengeluarkan sijil bertarikh 24 Julai tahun lalu untuk mengesahkan keahlian defendan dalam parti tersebut telah ditamatkan.

Sumber asal -K! ONLINE