UMNO Masih Perlukan Najib, Tak Perlu Undur

Seorang pemimpin Pemuda UMNO mahu Datuk Seri Najib Razak kekal membantu parti walaupun Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) dan hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas Perdana Menteri itu.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera, berkata walaupun Najib bukan dalam barisan kepemimpinan utama parti, beliau tidak perlu berundur kerana kredibiliti serta sumbangan baktinya yang banyak kepada rakyat Malaysia tidak boleh disangkal, terutama oleh parti pembangkang.

Katanya, tidak sesiapa pun dalam UMNO atau parti pembangkang boleh menghalang Ahli Parlimen Pekan berkenaan untuk terus berbakti kepada rakyat.

“Beliau tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran negara selepas melepaskan jawatan secara sukarela sebagai presiden parti susulan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu, malam tadi.

Tengku Haphiz berkata, pendirian Pemuda semua bahagian di negeri ini adalah Najib tidak perlu berundur dan boleh terus memberi pandangan untuk kebaikan parti terutama dalam membantu menghadapi PRU-15 nanti.

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada beberapa pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Negeri Melaka membuktikan rakyat masih menerima baik kehadiran Najib walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan kepadanya,” katanya.