Mahathir Sedih UMNO Jadi Parti Perasuah Dan Penyangak

Parti bertunjangkan bangsa Melayu iaitu UMNO kini dirampas perasuah dan penyangak dengan hanya menggunakan orang Melayu untuk menjadi sebuah kerajaan.

Malah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata,mereka hanya berhasrat menggunakan orang Melayu untuk jadi kerajaan dan mengguna kuasa untuk memperkayakan diri mereka.

Katanya orang Melayu tidak mempunyai sebarang pilihan hendak menyokong parti Melayu melainkan UMNO.

“Mereka tidak percaya parti berbilang kaum, bahkan parti Islam pun boleh memelihara hak dan keselamatan orang Melayu. Malangnya parti UMNO sudah dirampas oleh perasuah dan penyangak. Mereka ini hanya berhasrat mengguna UMNO dan orang Melayu untuk jadi Kerajaan dan mengguna kuasa Kerajaan untuk memperkayakan diri mereka.

“Sejak mereka ambil alih UMNO negara bertukar dari menjadi Harimau Asia kepada kleptokrasi iaitu negara yang diperintah oleh pencuri, penjenayah,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, Malaysia akan terus menjadi negara kleptokrasi yang akan merosakkan dan menghancurkan negara serta orang Melayu.

“Inilah sebabnya Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) ditubuhkan. Ia adalah parti Melayu atau Bumiputera seperti UMNO. Jika orang Melayu tidak sanggup beri undi kepada UMNO kerana sudah menyeleweng dan masih tidak percaya kepada parti berbilang kaum, maka Pejuang boleh dijadikan pilihan.

“Bukan sahaja Pejuang parti Melayu tetapi ia mendukung semua prinsip dan perjuangan UMNO dahulu yang melawan Malayan Union, yang memerdekakan Malaya dan membangun negara sehingga dikenali sebagai Harimau Asia,” tegasnya.-UTUSAN ONLINE