Rumah Pondan Sunyi Selepas Long Tiger Ditangkap

Long Tiger diberkas: Rumah pondan tiba-tiba ‘sunyi’ sejak 10 hari lalu

SUNGAI PETANI: Rumah sewa berpagar diduduki lelaki menyerupai wanita yang dipercayai menjadi tempat persembunyian Long Tiger di Kampung Jalan Kebun Tebu di sini, yang lazimnya ‘meriah’ tiba-tiba menjadi sunyi sejak 10 hari lalu.

Kampung tersebut terletak di belakang Pekan Cina Lama, di Jalan Kuala Ketil dan hanya berjarak kira-kira dua kilometer dengan pekan Sungai Petani.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Salmah berkata, rumah itu sebelum ini kerap dikunjungi rakan lelaki berperwatakan wanita berkenaan terutama pada waktu malam.

“Kebiasaannya rumah itu mula dipenuhi rakan pondan terbabit menjelang senja dengan pintu dan tingkap dibiar terbuka selain sebahagian besar lampu di dalam rumah itu dinyalakan. Bagaimanapun sejak 10 hari lalu, rumah itu dilihat tidak meriah seperti selalu termasuk sering berkunci dan hanya lampu di dapur sahaja dibiarkan menyala,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, ditangkap ketika sedang bersembunyi di sebuah rumah di sini pada pukul 3.15 petang.

Ketika ditangkap, lelaki berkenaan mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah ketika cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Pada 15 Disember lalu, lelaki berketurunan Rohingya itu bertindak meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak melalui pintu hadapan ketika sedang menunggu proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 kerana pemerasan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang enggan dikenali berkata, dia hairan apabila anak lelakinya yang berusia 11 tahun beberapa kali memberitahu dilarang oleh pondan itu bermain di sekitar rumahnya.

“Sebelum ini kanak-kanak di sini bebas bermain di mana sahaja kerana kampung ini hanya mempunyai 10 buah rumah penduduk keturunan Melayu, tiga buah keluarga India manakala keluarga Tionghua banyak mendiami di laluan masuk utama ke sini,” katanya.

UTUSAN ONLINE