Strategi Elak Tragedi Sri Muda Berlaku Lagi

Banjir teruk yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam adalah disebabkan keadaan geografinya yang terletak di pertembungan Sungai Damansara dan Sungai Klang dan kedua-dua sungai itu membawa air dari hampir seluruh Greater Kuala Lumpur.

Seorang jurutera pengurusan air pembentungan, Lin Jian Wen berkata, hujan luar biasa yang berlaku juga telah melepasi jangkaan perancangan bandar sebelum ini.

“Air melimpah dari pintu air dan juga benteng air untuk masuk ke Sri Muda, tetapi apabila hujan berhenti dan air mula surut, air pula terperangkap dan tidak boleh keluar.

“Keadaan ini berlaku kerana Taman Sri Muda terletak di kawasan rendah dan paras air sungai masih lebih tinggi daripada tanah kawasan ini,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurutnya lagi, kedudukan Taman Sri Muda juga secara kebetulan seperti dikelilingi tiga bahagian oleh Sungai Klang.

“Taman Sri Muda seperti besen yang dikelilingi Putra Heights di selatan, Seksyen 19 Shah Alam di utara dan Alam Impian di barat. Bentuk seperti besen ini menyebabkan air Sungai Klang yang penuh melimpah ke dalam Taman Sri Muda,” katanya.

Berhubung kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur bahawa banjir adalah berpunca daripada sampah, Jian Wen berkata, kenyataan itu kurang tepat kerana bencana berlaku di hilir dan bukannya hulu.

“Kejadian berlaku di Selangor, oleh itu tidak berasas untuk jabatan di hulu untuk mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Menurutnya, untuk mengelakkan banjir besar daripada berulang, pihak berkuasa perlu melaksanakan Sistem Pengurusan Lembangan Sungai Berintegrasi dan menggunakan ramalan iklim untuk mengelakkan pelepasan air secara serentak ketika cuaca buruk.

“Ada ura-ura yang tidak menolak bahawa pelepasan air di empangan dan terowong SMART secara berterusan selain kenaikan arus laut menyebabkan bencana kali ini.

“Cara terbaik adalah menggunakan sistem berintegrasi untuk mengelakkan pelepasan air pada masa yang sama,” katanya.

Tambahnya, walaupun kerja pendalaman Sungai Klang dijalankan secara berterusan, tetapi pembangunan di hulu menyebabkan banyak lumpur terkumpul di hilir, khususnya di kawasan lencongan sungai. – MalaysiaGazette