Bung Moktar Didakwa Makan Telur Penyu Yang Dilindungi

Berlegar di Facebook, sekeping gambar Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin sedang menikmati hidangan termasuk apa yang didakwa kelihatan seperti telur penyu yang dilindungi. Menurut laporan dari Malaysiakini, gambar itu disiarkan di laman Facebook Naib Presiden Warisan Junz Wong.

 

“Ini keterlaluan. Pertama Ismail Sabri (naib presiden Umno) dan James Ratib (Umno) dengan telur penyu. Kemudian ada bekas Adun Umno dengan telur penyu,” kata keterangan yang disertakan pada hantaran Facebook.

 

Wong memberitahu Malaysiakini bahawa dia diberitahu bahawa kejadian itu berlaku semasa perayaan Hari Raya baru-baru ini tetapi tidak mendedahkan bagaimana dia memperoleh gambar itu.

 

Dalam gambar tersebut, ahli politik veteran itu kelihatan menunjukkan ibu jari. Terdapat beberapa pinggan di atas meja, termasuk empat yang didakwa menghidangkan telur penyu. Terdapat juga orang lain di meja itu tetapi wajah mereka tidak kelihatan.

 

Ketika dihubungi mengenai perkara itu, Menteri Pelancongan, Budaya dan Persekitaran Sabah, Jafry Ariffin berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk meneliti dakwaan berkenaan.

 

“Berhubung foto seorang menteri Kabinet Sabah yang makan apa yang dilihat seperti telur penyu dihidangkan di atas meja, saya telah mengarahkan jabatan untuk melakukan siasatan penuh.

 

“Biar mereka menjalankan tugas terlebih dulu dan kita lihat apa hasilnya,” kata setiausaha Umno negeri itu melalui pesanan teks.

 

Pengambilan telur penyu dibenarkan di bawah perlesenan yang ketat dan terhad di pantai timur semenanjung tetapi ia dilarang di Sabah di bawah Enakmen Hidupan Liar Sabah 1997.

 

Mereka yang bersalah mengambil, menjual atau memakan telur penyu di negeri ini boleh didenda hingga RM50,000 atau dipenjara selama lima tahun atau kedua-duanya.

 

Sementara itu, Wong memberitahu Malaysiakini bahawa pemimpin politik harus memberi contoh yang baik.

 

“Kita tidak boleh memiliki pemimpin yang melekehkan undang-undang negara kita dan melakukannya seolah-olah tidak ada yang perlu dikhuatirkan.

 

“Bagaimana kita mengharapkan warga biasa untuk mematuhi undang-undang ketika ahli parlimen sendiri tidak serius menanggapinya,” tambahnya.

 

Terkini, satu pengguna Facebook dengan nama Rapidcdorezo telah membuat hantaran mengesahkan gambar yang tular adalah miliknya dan mendakwa dimanipulasi oleh pihak tertentu.

 

 

Pada 2017, bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, Ismail Sabri Yaakob memfailkan tuntutan saman fitnah sebanyak RM10 juta terhadap penerbit akhbar Daily Express dan editornya, James Sarda berhubung penerbitan tiga artikel berkaitan hidangan telur penyu dalam satu majlis di Sabah.

 

Ismail memfailkan saman itu pada 30 Mac di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa defendan telah dengan salah dan berniat jahat menerbitkan tiga artikel di akhbar Daily Express mengenai sajian telur penyu yang dilindungi pada satu majlis makan malam di Kota Kinabalu yang dihadiri beliau pada 2015.

 

Pemimpin Umno itu menafikan memakan telur tersebut, dengan alasan kadar kolesterolnya yang tinggi dan kemudian memfailkan saman terhadap akhbar Daily Express yang berpusat di Sabah berhubung perkara itu.

 

Dalam pembelaan mereka, defendan menafikan menerbitkan dan mencetak artikel tersebut dengan niat yang salah atau buruk. Pada tahun berikutnya, pihak-pihak dalam kes tersebut bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah.

 

Peguam yang mewakili pelanggan mereka bagaimanapun menolak untuk mendedahkan syarat penyelesaian yang dicatatkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon Siew Chye dalam kamar.

Latest article

More article