Apa hukumnya, jika suami balik atau bersama dengan isteri pertama ketika isteri kedua pulang ke kampung atau terikat dengan urusan tertentu. Berdasarkan giliran sepatutnya, suami bersama isteri kedua namun disebabkan ada urusan yang tidak dapat dielakkan, suami pulang ke rumah isteri pertama. Adakah isteri kedua hilang hak gilirannya ketika itu?

JAWAPAN

Dalam mengadakan giliran bermalam di antara isteri-isteri sekurang-kurangnya giliran dan afdal adalah satu malam bagi suami yang bekerja pada waktu siang. Haram hukumnya mengadakan giliran lebih daripada tiga malam tanpa kerelaan isteri yang lain.

Ini bermaksud suami tidak boleh mengadakan giliran lebih daripada tiga malam iaitu tidur di sebuah rumah isteri tiga malam berturut-turut. Sebaiknya adalah satu malam untuk seorang isteri dan malam esoknya di rumah isteri yang berlainan.

Kewajipan dari segi giliran bermalam adalah bermalam saja dan tidak termasuk bersama atau bersetubuh. Bersetubuh dengan isteri yang ada gilirannya hanyalah sunat sahaja dan bukannya wajib.

Maksudnya suami tidak diwajibkan untuk bersama dengan isteri yang tidur bersamanya. Si suami boleh bersama dengan isterinya atau tidak bersetubuh. Tetapi sebaik-baiknya adalah untuk menyamakan dalam giliran dan bersama.

Masalah timbul apabila isteri bermusafir atau isteri ada urusan lain “out station” adakah isteri itu mendapat giliran atau diqada giliran.

Isteri yang bermusafir dan tidak dapat bersama suaminya ketika bermusafir itu maka dia tidak mendapat gilirannya walaupun si isteri itu bermusafir dengan izin suaminya. Ini bermaksud suami tidak wajib bermalam di rumah isteri yang sedang bermusafir kerana dia tiada di rumah.

Bermalam tak semestinya bersama

Dalam masalah yang diberikan iaitu si isteri bermusafir dengan izin walinya tetapi hajat suami ataupun keperluan suami maka dia tidak mendapat giliran. Tetapi jika si isteri musafir dengan izin dan atau hajat keperluan suami maka dia berhak mendapat giliran qada’.

Kalau masalah isteri musafir sebab out station sudah tentu atas hajat keperluan pekerjaannya dan bukan hajat keperluan suami walaupun dengan izin suami maka tidaklah si isteri itu mendapat giliran qada’.

Tapi andai si isteri tiada di rumah maka si suami boleh bermalam di rumah isteri yang lain, jika isteri kedua tiada dia boleh bermalam di rumah isteri pertama dan bersama dengannya. Tidak menjadi kesalahan juga jika suami tidak bermalam di rumah si isteri yang mempunyai giliran tetapi dia tiada di rumah. Dia boleh bermalam di mana-mana.

Sebagaimana yang telah saya sebutkan sebelum ini yang menjadi kewajipan adalah bermalam dan bukannya bersama. Maka tidak menjadi kesalahan jika bermalam tetapi tidak bersama tetapi sebaiknya tidak disamakan bermalam dan bersama.

Suami yang berpoligami tidak boleh pergi pada waktu siang ke rumah isteri yang bukan gilirannya tanpa keperluan.

Si suami dibolehkan pergi ke rumah isteri yang bukan giliran pada waktu siang hanya dengan hajat tertentu atau diarah seperti sakit, kebakaran atau kecemasan dan harus juga sebab hajat contohnya menyimpan barang, menyerahkan nafkah atau mengambil barang itu pun tidak dalam masa yang lama.

Jika berlama-lama maka dikenakan hukuman qada’. Inilah di antara peringatan kepada para suami yang berpoligami supaya dapat berlaku adil dalam urusan rumah tangga.