Kumpulan Search Keluarkan Amaran!

Kumpulan rock popular Malaysia pada satu masa dulu, Search mengeluarkan amaran keras kepada syarikat Home of Champions dan pengurusnya iaitu Mozylir Mokhtaruddin kerana menyalahguna nama kumpulan tersebut untuk menjana keuntungan tanpa kebenaran daripada pihak Search.

 

Syarikat berkenaan dituduh menyalahgunakan nama yang berkaitan dengan Search iaitu ‘fenomenasearch’ melalui laman sesawang dan menggunakan alamat emel dengan nama domain fenomenasearch.com.

 

House of Champions menggunakan nama Search menjual aksesori, pakaian dan imej berkaitan Search melalui laman sesawang mereka dan platform media sosial iaitu di Facebook, Shopee dan Instagram. Antara barang yang dijual ialah kasut Aliph x Search – Edisi 2021 dengan penjualan terhad kepada 999 unit sahaja.

 

Bekas vokalis Search Amy dan pemain bass, Nasir memberi kenyataan yang syarikat tersebut diberi tempoh selama tujuh hari untuk menghentikan semua aktiviti menggunakan nama Search dan perlu menjawab tuntutan yang telah dihantar peguam mereka.

 

“Kami sudah mendapatkan nasihat daripada peguam untuk memulakan tindakan undang-undang. Peguam yang dilantik akan menguruskan semua perkara berkaitan hal tersebut. Antara tuntutan kami adalah meminta mereka mendedahkan maklumat perniagaan yang melibatkan nama Search.”

Menurut Nasir, dia sudah berjumpa dengan pengurus House of Champions beberapa hari sebelum bulan Ramadan yang lalu dan meminta menghentikan penggunaan nama Search, namun hasil perbincangan tidak menemui jalan perdamaian.

 

 

Manakala Amy pula menegaskan, tindakan lantang mereka bersuara dalam isu ini adalah kerana mereka mahu menjaga hak arwah Yazit, salah seorang anggota kumpulan Search yang meninggal dunia pada 2019.

 

Kata Amy, dia berjanji dengan arwah Yazit dan semua anggota Search, akan menjaga hak arwah dan hak semua anggota kumpulan. Adalah menjadi tugas mereka melindungi hasil kerja yang pernah dibuat daripada dieksploitasi oleh sesiapa pun.

 

Bagi pihak House of Champions pula, mereka mendakwa pihaknya masih belum mendapat sebarang notis tuntutan daripada peguam lantikan Amy dan Nasir. Pengurusnya Mozylir memberitahu, syarikat mereka masih meneruskan operasi jualan produk seperti biasa dan akan mengadakan sidang media bersama peguam dalam masa terdekat. Menurut Mozylir, mereka akan menjawab segala tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan kepada mereka.

 

Search merupakan kumpulan rock yang ditubuhkan pada tahun 1981 dan album terakhir mereka diterbitkan pada 2017 sebelum Amy mengambil keputusan keluar daripada Search pada 2020.

Latest article

More article