MB Kedah Didenda Kerana Langgar SOP, Pengadu Ucap Syukur

Pengadu atau whistleblower yang telah memberi maklumat tentang pelanggaran prosedur operasi standard Covid-19 semasa ‘total lockdown’ oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor meluahkan rasa syukur kerana undang-undang dapat ditegakkan.

 

Ini selepas polis mengumumkan telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM1500 terhadap ahli parlimen PAS itu.

 

Nini Siron, 36, telah menerima kecaman daripada operator politik setelah dia merakam video Sanusi didakwa memandu uji di sebuah premis pengedar kenderaan Ford di Juru, Pulau Pinang ketika perintah kawalan pergeraakan (PKP) penuh itu.

 

“Saya semata-mata melakukan apa yang saya rasakan perlu sebagai rakyat biasa. Banyak pihak telah menuduh saya membuat fitnah.

 

“Mereka melabel saya sebagai RBA, menggelar saya sebagai anjing parti politik tertentu, mencela dengan kata-kata lucah dan jijik, mengaibkan saya, memaki hamun suami serta adik kakak saya.

 

“Sebagai orang besar, mereka lantang menyindir saya. Saya diserang secara peribadi juga. Hebat! Tidakkah mereka rasa berdosa atau adakah mereka terkecuali daripada dosa,” soalnya.

 

Nini juga menyoal sekiranya mereka yang bertanggungjawab akan memohon maaf kepadanya. “Anda tahu anda siapa,” katanya.

 

Dia juga mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada pihak polis kerana memberikan “keyakinan kepada rakyat bahawa undang-undang adalah harapan kami.”

 

Nini telah merakam video Muhammad Sanusi di Juru Auto City pada 5 Jun. Selepas dia memuat naik video tersebut di media sosial, Nini mengatakan dia berhadapan gangguan.

 

Sanusi telah menyatakan rasa tidak senang dengan tindakan berkenaan, berkata Nini sepatutnya meminta penjelasan daripadanya. Sanusi berkata dia tidak secara peribadi memandu uji kerana kenderaan itu dipandu oleh jurujual.

 

Polis Pulau Pinang telah menyerahkan kompaun kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, kerana dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) total lockdown dengan memandu uji sebuah kenderaan di Auto City Juru, bulan lepas.

 

Pada 5 Jun lepas, tular gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta ketika negara berada di bawah sekatan pergerakan penuh yang mana pusat jualan dan pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi.

 

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden kemudian menafikan Muhammad Sanusi melanggar SOP. Polis kemudian telah mengambil keterangan Muhammad Sanusi dan beberapa saksi berhubung kes tersebut.

 

Kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang dan kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Latest article

More article