Muncul Selepas Hilang Selama 28 Tahun

Sebuah vila misteri ditemui terdampar secara tiba-tiba di tepi pantai di Costa de Sol, El Salvador, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.

 

Penduduk tempatan dan pe­lancong keliru berhubung pene­muan tersebut di Pantai La Puntilla baru-baru ini. Bagaima­napun, terdapat teori popular mengatakan bahawa vila itu hanyut dalam bencana taufan yang membadai El Salvador lebih 20 tahun lalu.

 

Akhbar tempatan, La Prensa Grafica melaporkan beberapa penduduk sebagai memberitahu, vila tinggal itu merupakan sebuah hotel dikenali sebagai Hotel Puerto Ventura kira-kira 28 tahun lalu.

 

Hotel tersebut dibina hanya beberapa meter dari laut sekali gus menguatkan kemungkinan bahawa ia dihanyutkan oleh air laut.

 

“Mereka membinanya terlalu dekat dengan pantai. Mereka juga tidak membuat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa untuk membinanya (hotel) dan itulah akibatnya,” kata seorang penduduk tempatan.

 

Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan bagaimana hotel tersebut musnah dalam kejadian Taufan Mitch yang telah membadai El Salvador pada tahun 1998 dan mengakibatkan lebih 9,000 kematian.

 

Kini, bangunan dua tingkat tersebut menjadi tarikan pelancong yang datang ke situ untuk bergambar dengan ada antara mereka memanjat tingkat atas vila tersebut bagi mendapatkan gambar pemandangan yang lebih cantik.

 

Bagaimanapun, penduduk setempat, Coralia Sotelo berkata, beberapa kanak-kanak pernah melihat seorang lelaki kulit hitam berkeliaran di sekitar vila tersebut, menyebabkannya takut untuk menghampiri kawasan itu.

 

“Saya takut untuk pergi ke situ dan tidak pernah menghampirinya. Beberapa kanak-kanak yang pergi ke pantai itu untuk menangkap penyu pada waktu malam memberitahu mereka ada terlihat lelaki itu,” ujarnya.

Latest article

More article