- Advertisement -Newspaper WordPress Theme
InfoTempurung Kelapa Sumber Pendapatan PKP

Tempurung Kelapa Sumber Pendapatan PKP

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itulah ungkapan sesuai diberikan kepada Yusran Hamat, 49, yang berjaya memanfaatkan tempurung kelapa yang dibuang dengan menjadikannya hasil kraftangan sebagai sumber rezekinya.

 

Yusran yang sebelum ini bekerja mengambil upah menjual barang kitar semula mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lepas menyebabkan sumber rezekinya agak terjejas, sekali gus memaksa dirinya mencari alternatif sebagai ‘duit poket’ tambahan untuk menyara keluarga.

 

Katanya, idea untuk menghasilkan kraftangan menggunakan tempurung kelapa itu timbul apabila beliau ke kedai menjual santan berhampiran dengan rumahnya di Kampung Wakaf Tok Kasim, Sabak, sebelum melihat ia terbuang begitu sahaja.

 

“Sudah beberapa kali, apabila saya ke kedai berhampiran dengan rumah, saya melihat tempurung kelapa dibiarkan begitu sahaja dan ada satu ketika sebaik pulang timbul idea untuk memanfaatkan bahan buangan tersebut agar ia dapat menjadi punca rezeki.

 

“Selepas memikirkan cara yang terbaik untuk memanfaatkan tempurung kelapa itu, saya mula menonton video-video dalam YouTube yang memaparkan cara untuk membuat kraftangan menggunakan hasil buangan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Wakaf Tok Kasim, Sabak, di sini hari ini.

 

Bercerita lanjut, bapa kepada lima anak itu berkata selepas beberapa kali melakukan percubaan untuk menghasilkan kraftangan berpandukan video dalam YouTube, beliau akhirnya berjaya menghasilkan bentuk pulau dan pokok kelapa menggunakan tempurung kelapa.

 

“Tidak dinafikan pada awal percubaan ia tidak berhasil, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba yang akhirnya berjaya walaupun masih perlu penambahbaikan.

 

“Malah, dengan kata-kata semangat yang diberikan oleh isteri, Fazilah Ab Ghani, 45, untuk mencari rezeki halal bagi kami sekeluarga turut mendorong saya meneruskan idea ini,” luahnya.

 

Yusran berkata, bermula Mac tahun lepas beliau mula mengambil tempurung kelapa itu yang diberikan secara percuma oleh pemilik kedai santan berkenaan untuk menghasilkan pelbagai hasil kraftangan.

 

Bagi menghasilkan hasil kraftangan yang elok dan tidak mudah rosak, beliau akan memastikan tempurung kelapa yang menjadi bahan asas berada dalam keadaan baik serta tidak mudah rapuh untuk memudahkan ia dibentuk.

 

“Saya akan melukis bentuk yang diinginkan terlebih dahulu di atas kertas sebelum ditekap di atas permukaan tempurung kelapa. Kemudian, ia akan dicanai mengikut bentuk yang diperlukan dan diakhiri dengan cat untuk mengelakkan ia lusuh.

 

“Antara bahagian agak rumit adalah ketika mencanai tempurung berkenaan kerana khuatir akan pecah sekiranya tidak dibuat dengan berhati-hati,” katanya.

 

Beliau berkata, hampir seminggu sekali beliau memerlukan bekalan tempurung kelapa sebanyak lima kilogram untuk menghasilkan kraftangan termasuk tabung, cawan, burung, kapal dan sebagainya yang dijual bermula harga serendah RM5 hingga RM40.

 

“Hampir setiap hari saya mampu menghasilkan sekitar dua hingga tiga kraftangan bergantung kepada saiz dan bentuk dan kebiasaannya ia akan mengambil masa dua hingga 12 jam untuk siap satu produk kraftangan.

 

“Kebiasaannya hasil kraftangan yang dihasilkan diletakkan di sebuah kedai berdekatan dengan rumah saya. Jualan kraftangan saya mampu memperoleh sekitar RM300 sebulan,” katanya sambil menambah beliau dalam perancangan memperluaskan jualan kraftangannya di tempat lain di Kelantan.

Subscribe Today

GET EXCLUSIVE FULL ACCESS TO PREMIUM CONTENT

SUPPORT NONPROFIT JOURNALISM

EXPERT ANALYSIS OF AND EMERGING TRENDS IN CHILD WELFARE AND JUVENILE JUSTICE

TOPICAL VIDEO WEBINARS

Get unlimited access to our EXCLUSIVE Content and our archive of subscriber stories.

Exclusive content

- Advertisement -Newspaper WordPress Theme

Latest article

More article

- Advertisement -Newspaper WordPress Theme